Tuesday, January 19, 2010

Apakah Gaya Komunikasi Anda?

Assalamualaikum pembuka bicara,
Esok sudah 20 haribulan rupanya,
Topik menarik yang mahu dikongsi bersama,
Apakah gaya komunikasi anda semua?

Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak menumpukan perhatian?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak berminat?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti mengelamun jauh?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia sering menyampuk percakapan anda?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, dan dia dapat mengikuti segala butiran yang anda kongsikan?

Pasti sebahagian atau mungkin juga semua situasi di atas, pernah berlaku kepada kita semua.

Saya baru sahaja selesai mengedit buku edisi bahasa melayu Law of Connection. Buku itu ditulis oleh Michael J. Losier, pengarang buku Law of Attraction.

Ternyata kandungan buku itu begitu menarik sekali. Pengarang berkongsi pelbagai kaedah mewujudkan perhubungan personal dan profesional yang ideal. Manusia ternyata mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Rupa-rupanya, kita semua mempunyai gaya komunikasi yang berbeza. Inilah sebab utama kenapa berlaku salah faham dan miskomunikasi antara kita, sehinggakan menjejaskan dan memusnahkan perhubungan dengan individu / pihak itu.

Kenyataannya, kita sentiasa dikelilingi oleh pelbagai pihak yang mempunyai pelbagai gaya komunikasi. Mari kita renungkan dua situasi berikut:

Situasi A: Anda berkenalan dengan teman baru, dan secara serta merta anda berdua mampu berkomunikasi dengan lancar, seperti sudah berkawan lama. Anda begitu seronok berbual dengannya dan dia juga kelihatan seronok berbual dengan anda. Anda berdua rancak berborak sehingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.

Situasi B: Anda berkenalan dengan teman baru, namun dia seperti tidak berminat berbual-bual panjang dengan anda. Setiap persoalan yang diajukan, disambutnya sepatah demi sepatah. Setiap informasi menarik yang dikongsikan, nyata tidak mendapat respons yang memberangsangkan. Anda mula merasakan tidak seronok berbual dengannya.

Pasti kedua-dua situasi di atas pernah berlaku kepada anda. Saya sendiri pernah mengalami keadaan itu. Sebagai pensyarah, saya berhadapan dengan pelbagai ragam, karenah pelajar, pada setiap semester. Pasti gaya komunikasi mereka juga berbeza. Ada yang menyenangkan, dan ada juga yang menjengkelkan.

Selepas mengedit buku itu, saya dapat lebih memahami setiap gaya komunikasi yang ada. Selama ini, sepanjang saya menjadi jurulatih dan fasilitator pelbagai program belia, kami sudah didedahkan dengan jenis ragam manusia dan cara mereka belajar. Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. Tiga jenis itu adalah pembelajaran visual, auditori dan kinestetik. Rupanya, hal itu berkaitan juga dengan gaya komunikasi mereka. Bezanya gaya komunikasi mempunyai 4 gaya, iaitu Visual, Auditori, Kinestetik, dan Digital.

Secara ringkasnya:
Visual = Penglihatan,
Auditori = Pendengaran,
Kinestetik = Pergerakan,
Digital = Pemikiran...

Adakah anda komunikator Gaya Visual, Auditori, Kinestetik atau Digital?
Bagaimana berkomunikasi dengan individu berbeza gayanya?
Bagaimana mengenal pasti gaya komunikasi individu itu?

Semuanya terjawab dalam buku Edisi Bahasa Melayu: Law of Connection. Mac 2010. Terbitan PTS Profesional