Sunday, July 26, 2009

Ramadhan yang Mulia



Bulan Ramadhan yang mulia bakal tiba. Setelah setahun menghilang, dirindui oleh orang Islam di seluruh dunia, akhirnya ia muncul semula. Ada sebilangan besar sudah mula berpuasa di bulan Rejab, bagi mendapatkan berkat bulan Rejab, ada yang baru mahu mengganti semula hutang puasa yang masih ada (alhamdulillah, hutang puasa biasanya diganti pada bulan Syawal), dan ada yang berpuasa untuk mendapatkan semula feel puasa selepas hampir setahun menghilang.

Diramalkan Ramadhan akan mula pada 20hb Ogos (tertakluk kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, selepas melihat anak bulan), menjadikan antara 2-3 minggu sahaja lagi daripada hari ini. Memang sudah tidak sabar! Bulan puasa memang bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh semua. Ataupun sebenarnya orang ramai menunggu sambutan Syawal selepas itu...? Hmmm...

Nota: Masa bulan puasa, paling suka menonton solah terawih yang disiarkan secara langsung daripada tanah suci Mekah. Biasanya waktu siarannya di Malaysia ialah pada tengah malam.

Sebulan Menyepi... Sedikit Aktiviti Bulan Julai.

Assalamualaikum...

Rupanya sudah sebulan tiada entri baru ke dalam blog ini. Sebulan lamanya menyepi. Entri terakhir adalah pada penghujung bulan Jun. Kini sudah tiba penghujung bulan Julai. Bila difikirkan semula, apa aktiviti yang memenuhi kalendar bulan Julai? Hmm....

Antaranya:

Semester baru bermula di kolej. Tambahan kepada kelas 'Penulisan Berita dan Laporan', kini saya mengajar kelas "Isu Etika dan Rangka Kerja Undang-undang dalam Komunikasi'. Dalam mesyuarat pensyarah Fakulti Mass Komunikasi tempoh hari, dikhabarkan subjek 'Teori dalam Mass Komunikasi' turut akan ditambah ke dalam senarai subjek yang perlu diajar. Wahhh! Subjek yang berat belaka. Ah! Baru teringat, ada beberapa dokumen yang perlu dilengkapkan, demi memenuhi kehendak kelayakan kursus untuk MQA. Banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. :0)

Kedai Buku Popular mengadakan Pesta Buku di ruang legar di Ikano Power Center, yang akan tamat pada 2 Ogos. Begitu seronok membayangkan pelbagai ilmu berharga yang bakal dimiliki pada kadar yang istimewa. Pada hari Rabu 22 Julai, digagahi pergi ke Kota Damansara tu daripada Kajang. Terasa seperti marathon merentas bandar. Bila dah berada di sana, memang kagum kerana harga potongan buku sehingga 80%! Cuma kita perlu bijak 'mengode-gode' longgokkan dan timbunan buku yang disusun di bahagian tawaran istimewa tersebut. Akhirnya beratus RM diperhabiskan angkara terlalu seronok dikelilingi pelbagai buku di situ. Tangan ini mencapai seolah-olah membeli-belah di pasaraya besar. Sejumlah 23 buah buku diborong pada hari itu, termasuk buku untuk Danial. Jangan terkejut, Danial pun sudah ada bahagian almari yang dipenuhi oleh pelbagai bukunya sendiri! Seronoknya!