Tuesday, January 19, 2010

Apakah Gaya Komunikasi Anda?

Assalamualaikum pembuka bicara,
Esok sudah 20 haribulan rupanya,
Topik menarik yang mahu dikongsi bersama,
Apakah gaya komunikasi anda semua?

Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak menumpukan perhatian?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak berminat?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti mengelamun jauh?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia sering menyampuk percakapan anda?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, dan dia dapat mengikuti segala butiran yang anda kongsikan?

Pasti sebahagian atau mungkin juga semua situasi di atas, pernah berlaku kepada kita semua.

Saya baru sahaja selesai mengedit buku edisi bahasa melayu Law of Connection. Buku itu ditulis oleh Michael J. Losier, pengarang buku Law of Attraction.

Ternyata kandungan buku itu begitu menarik sekali. Pengarang berkongsi pelbagai kaedah mewujudkan perhubungan personal dan profesional yang ideal. Manusia ternyata mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Rupa-rupanya, kita semua mempunyai gaya komunikasi yang berbeza. Inilah sebab utama kenapa berlaku salah faham dan miskomunikasi antara kita, sehinggakan menjejaskan dan memusnahkan perhubungan dengan individu / pihak itu.

Kenyataannya, kita sentiasa dikelilingi oleh pelbagai pihak yang mempunyai pelbagai gaya komunikasi. Mari kita renungkan dua situasi berikut:

Situasi A: Anda berkenalan dengan teman baru, dan secara serta merta anda berdua mampu berkomunikasi dengan lancar, seperti sudah berkawan lama. Anda begitu seronok berbual dengannya dan dia juga kelihatan seronok berbual dengan anda. Anda berdua rancak berborak sehingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.

Situasi B: Anda berkenalan dengan teman baru, namun dia seperti tidak berminat berbual-bual panjang dengan anda. Setiap persoalan yang diajukan, disambutnya sepatah demi sepatah. Setiap informasi menarik yang dikongsikan, nyata tidak mendapat respons yang memberangsangkan. Anda mula merasakan tidak seronok berbual dengannya.

Pasti kedua-dua situasi di atas pernah berlaku kepada anda. Saya sendiri pernah mengalami keadaan itu. Sebagai pensyarah, saya berhadapan dengan pelbagai ragam, karenah pelajar, pada setiap semester. Pasti gaya komunikasi mereka juga berbeza. Ada yang menyenangkan, dan ada juga yang menjengkelkan.

Selepas mengedit buku itu, saya dapat lebih memahami setiap gaya komunikasi yang ada. Selama ini, sepanjang saya menjadi jurulatih dan fasilitator pelbagai program belia, kami sudah didedahkan dengan jenis ragam manusia dan cara mereka belajar. Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. Tiga jenis itu adalah pembelajaran visual, auditori dan kinestetik. Rupanya, hal itu berkaitan juga dengan gaya komunikasi mereka. Bezanya gaya komunikasi mempunyai 4 gaya, iaitu Visual, Auditori, Kinestetik, dan Digital.

Secara ringkasnya:
Visual = Penglihatan,
Auditori = Pendengaran,
Kinestetik = Pergerakan,
Digital = Pemikiran...

Adakah anda komunikator Gaya Visual, Auditori, Kinestetik atau Digital?
Bagaimana berkomunikasi dengan individu berbeza gayanya?
Bagaimana mengenal pasti gaya komunikasi individu itu?

Semuanya terjawab dalam buku Edisi Bahasa Melayu: Law of Connection. Mac 2010. Terbitan PTS Profesional

Saturday, December 19, 2009

6 Bulan Berlalu... Macam-macam yang berlaku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apabila dikunjungi laman blog ini, ternyata entri terakhir adalah pada bulan Julai. Sudah 6 bulan berlalu dan pelbagai perkara yang berlaku. Namun itu bukan alasan untuk tidak menulis apa-apa. Hakikatnya, kebanyakan masa memang dihabiskan dengan menulis, tetapi bukan di blog ini. Saya sibuk menterjemah buku, mengedit buku dan menulis siri novel remaja yang pertama. Tambahan lagi, dengan pelbagai tugasan penterjemahan dokumen komersial dan tugasan mengajar di kolej swasta. Itu belum lagi termasuk masa berharga bersama keluarga, bersama Danial Jazmi, bersama ayahnya, auntie2nya, uncle2nya, dan atok2nya.

Wah, sungguh multitasking! :0) Segalanya mengenai kehidupan. Kadang-kadang, apabila tidak mempunyai sebarang tugasan, memang membosankan. Tetapi apabila mempunyai seribu satu macam perkara yang perlu dilakukan, terasa begitu sibuk pula.

Namun, sibuk itu bagus, memang bagus.
Sibuk bermakna, semua anggota badan kita bekerja, berfungsi dengan baik.
Sibuk bermakna, masa dipenuhi dengan pelbagai perkara yang berharga.
Sibuk bermakna, kita melangkah maju ke hadapan.
Sibuk bermakna, kita mempelajari pelbagai ilmu baru setiap hari.

Tanggal 20 Disember 2009, barulah ada sedikit masa terluang bagi mencatatkan sesuatu dalam blog ni. Walaupun, masih ada tugasan yang perlu disiapkan, tetapi rindu mahu menulis sesuatu di laman blog ini.

Mengimbas kembali, apa yang dilakukan sepanjang 6 bulan yang lepas, memang tidak dapat diingati secara terperinci. Secara amnya, antara perkara yang berlaku adalah:

1. Mengedit buku terjemahan - RAHSIA BISNES GOOGLE - PTS Profesional, Disember 2009
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



2. Mengedit buku terjemahan - YOUTUBE - PTS Profesional, 2010
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



3. Menterjemahkan buku motivasi - KUBIK LEADERSHIP - PTS Profesional, 2010
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



4. Menulis novel remaja yang bertemakan sains dan teknologi. Buku ini bakal dijadikan siri, Insyallah. Novel TIM B.E.S.T. (Buat Eksperimen Sains dan Teknologi) berkisarkan mengenai sekumpulan remaja yang suka melakukan pelbagai eksperimen sains dan teknologi. Setiap daripada mereka mempunyai karakter dan aspirasi masing-masing.

5. Insyallah, memulakan projek terjemahan buku mind mapping pada minggu hadapan. Projek ini mencabar kerana ia perlu disiapkan sepantas mungkin. Buku ini berkembar, setebal 150 dan 190 mukasurat. Setiap satu perlu disiapkan dalam masa 2 - 3 minggu sahaja. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNYA. Insyallah! :0)

Pasti boleh! Insyallah! :0)

Sunday, July 26, 2009

Ramadhan yang Mulia



Bulan Ramadhan yang mulia bakal tiba. Setelah setahun menghilang, dirindui oleh orang Islam di seluruh dunia, akhirnya ia muncul semula. Ada sebilangan besar sudah mula berpuasa di bulan Rejab, bagi mendapatkan berkat bulan Rejab, ada yang baru mahu mengganti semula hutang puasa yang masih ada (alhamdulillah, hutang puasa biasanya diganti pada bulan Syawal), dan ada yang berpuasa untuk mendapatkan semula feel puasa selepas hampir setahun menghilang.

Diramalkan Ramadhan akan mula pada 20hb Ogos (tertakluk kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, selepas melihat anak bulan), menjadikan antara 2-3 minggu sahaja lagi daripada hari ini. Memang sudah tidak sabar! Bulan puasa memang bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh semua. Ataupun sebenarnya orang ramai menunggu sambutan Syawal selepas itu...? Hmmm...

Nota: Masa bulan puasa, paling suka menonton solah terawih yang disiarkan secara langsung daripada tanah suci Mekah. Biasanya waktu siarannya di Malaysia ialah pada tengah malam.

Sebulan Menyepi... Sedikit Aktiviti Bulan Julai.

Assalamualaikum...

Rupanya sudah sebulan tiada entri baru ke dalam blog ini. Sebulan lamanya menyepi. Entri terakhir adalah pada penghujung bulan Jun. Kini sudah tiba penghujung bulan Julai. Bila difikirkan semula, apa aktiviti yang memenuhi kalendar bulan Julai? Hmm....

Antaranya:

Semester baru bermula di kolej. Tambahan kepada kelas 'Penulisan Berita dan Laporan', kini saya mengajar kelas "Isu Etika dan Rangka Kerja Undang-undang dalam Komunikasi'. Dalam mesyuarat pensyarah Fakulti Mass Komunikasi tempoh hari, dikhabarkan subjek 'Teori dalam Mass Komunikasi' turut akan ditambah ke dalam senarai subjek yang perlu diajar. Wahhh! Subjek yang berat belaka. Ah! Baru teringat, ada beberapa dokumen yang perlu dilengkapkan, demi memenuhi kehendak kelayakan kursus untuk MQA. Banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. :0)

Kedai Buku Popular mengadakan Pesta Buku di ruang legar di Ikano Power Center, yang akan tamat pada 2 Ogos. Begitu seronok membayangkan pelbagai ilmu berharga yang bakal dimiliki pada kadar yang istimewa. Pada hari Rabu 22 Julai, digagahi pergi ke Kota Damansara tu daripada Kajang. Terasa seperti marathon merentas bandar. Bila dah berada di sana, memang kagum kerana harga potongan buku sehingga 80%! Cuma kita perlu bijak 'mengode-gode' longgokkan dan timbunan buku yang disusun di bahagian tawaran istimewa tersebut. Akhirnya beratus RM diperhabiskan angkara terlalu seronok dikelilingi pelbagai buku di situ. Tangan ini mencapai seolah-olah membeli-belah di pasaraya besar. Sejumlah 23 buah buku diborong pada hari itu, termasuk buku untuk Danial. Jangan terkejut, Danial pun sudah ada bahagian almari yang dipenuhi oleh pelbagai bukunya sendiri! Seronoknya!

Thursday, June 25, 2009

Petua 8p daripada Ustazah Siti Nurbahyah



Ustazah Siti Nur Bahyah berkata,

1) P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terim! a kasih apabila diberi pertolongan..

2) Katanya, P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3) P seterusnya ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4) 'Perhatian' adalah P keempat yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan, katanya yang menulis buku Cakar Harimau - Tips Kebahagiaan Rumah Tangga, Amalan Ibu Mengandung dan Panduan Mencerdaskan Minda.

5) Siti Nur Bahyah berkata, P seterusnya mewakili 'persefahaman'

6) Menurutnya, P selanjutnya membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7) Beliau berkata, satu lagi P adalah 'percutian' di mana kita perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangan di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin.

8) Katanya, P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia..

Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama bagi mengurangkan panas baran suami.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggung jawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai-berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggung jawab terhadap keluarga," katanya.

"sampaikanlah pesanan yang bermanfaat walaupun 1 ayat"

Thursday, June 18, 2009

Mutiara Kata



Jika dunia ini persinggahan,
mengapa tidak kita perbanyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan?
Kerana kita hanya ada satu persinggahan sahaja.

Jika pemberian orang lain tidak di hargai,
untuk apa pula kita mengharapkan orang lain menjaga hati kita?
Orang memberi kita merasa,
berbudi bahasalah sesama insan.

Ada 4 tanda tanda orang berakal.
Cinta pada ilmu,
tidak berubah mukanya waktu menerima umpat dan puji,
bagus jawapannya
dan banyak benarnya.

Jelingan tidak sama ertinya,
jelingan pemimpin mempasti,
jelingan anak takut dimarahi,
jelingan bapa mengawasi,
jelingan musuh sakit hati,
jelingan perempuan jatuh hati.

7 golongan manusia dalam menuntut ilmu.




Saya dapat email ini daripada salah satu online group yang saya sertai...
Kandungan email ini agak menarik... jadi saya sertakan di sini... golongan manakan anda? (Kandungannya diedit sedikit dari segi tatabahasa dan penyesuaian ayat)

................................

Salam sahabat muslimin dan muslimat sekalian.

Saya baru dapat ilmu daripada seorang guru dan ingin berkongsi bersama anda.

Kata ya dalam masyarakat Islam, ada 7 golongan manusia dalam menuntut ilmu.

1. Orang yang menuntut dan mencari ilmu kerana ilmu semata mata. Dia seronok, mabuk dan asyik dengan ilmu. Mabuk ilmu hingga yang ada tidak mahu kahwin , kerana katanya belum puas belajar. Ini adalah golongan yang mabuk ilmu.

2. Orang yang mencari ilmu kerana bercita-cita hendak mendapat jawatan tinggi seperti mufti dan bergaji besar.D engan ilmu juga dia boleh berniaga dan jadi kaya dan mendapat banyak harta. Ini golongan yang menggunakan ilmu untuk meraih kekayaan.

3. Ada orang mencari ilmu kerana bercita cita menjadi pemimpin. Seorang yang jadi pemimpin mesti berilmu. Ini adalah golongan yang menggunakan ilmu untuk menjadi pemimpin.

4. Ada juga orang yang mencari ilmu kerana hendakkan glamour.Agar orang kata dia intelek. Inilah golongan ahli ilmu yang tujuan nya hendak dapat nama.

5. Ada orang belajar ilmu kerana hendak keluar daripada kejahilan dan kebodohan. Agar dia tidak dipandang hina. Inilah golongan yang mendapatkan ilmu supaya diri tidak terhina.

6. Ada orang menuntut ilmu kerana ingin membangun dan maju demi kedaulatan dan kemegahan bangsa dan negara. Agar jangan bangsa nya mundur dan terhina. Inilah golongan ilmuan yang berfahaman nasionalisme.

7. Ada orang yang menuntut ilmu kerana perintah Allah. Juga dengan tujuan agar dapat amalan ilmu supaya boleh mengabdikan dan mendekatkan diri kepada Allah.Golongan ini menggunakan ilmu untuk membangunkan Islam dalam berbagai-bagai aspek saperti ekonomi, pertanian, bangunan, sekolah, jalan raya, pembangunan insan dan lain lain. Ini adalah dengan tujuan agar dapat melindungi iman, memperkuatkan syariat, membesarkan syiar Islam dan mendaulatkan hukum hukum Tuhan. Ini golongan ilmuan yang bertaqwa.


Kita umat Islam dalam menuntut Ilmu biarlah menjadi golongan yang ke 7 ya itu mencari ilmu kerana Allah Taala. Kalau belajar bukan kerana Allah maka rugi lah, kerana mungkin untung di dunia tetapi rugi di akhirat saperti yang di nyatakan dalam Hadis yang di tulis di awal tulisan tadi. Wal'iyazubillah!

(sumber:teman siber Amri el Wahab http://hembusan-amal.blogspot.com)

Kini Jun Tiba...



Alhamdullillah, June sudah tiba dengan selamatnya. Saya sudah menerima keputusan daripada peperiksaan penterjemahan am tempoh hari... Amin... Lulus dengan KEPUJIAN! Leganya hati... semua penat lelah, meredah pagi untuk ke kelas setiap sabtu selama 10 minggu akhirnya ... hasilnya memang berbaloi...

Kini sudah boleh mewar-warkan kepada umum... saya adalah penterjemah bertauliah... I am a Certified Translator English to Malay and vice versa... ...

Kini, sasaran seterusnya... mengukuhkan lagi kemahiran dan pengetahuan tentang dunia penterjemahan... saya akan mengikuti ...Bengkel Penyuntingan Penterjemahan... juga dianjurkan oleh ITNM... setiap sabtu bermula sabtu ini 20 Jun sehingga 11 Julai... meredah pagi lagi la jawabnya... untuk 4 kali pula... lebih pendek... syukur...

Oh ya... saya membeli sebuah papan putih tempoh hari. Tujuannya? Untuk mencatatkan semua itenari, program, majlis dan acara yang akan berlaku, yang perlu dihadiri ... buat masa ini ... inilah yang ada atas papan itu...

Hari/Tarikh........Perkara.......Lokasi.....

Sabtu, 20 Jun, 27 Jun, 4 Julai, 11 Julai...Bengkel Penyuntingan Penterjemahan...ITNM Wangsa Maju

Ahad 21 Jun ... Majlis Perkahwinan Badrisham & Atiqah... Batu Pahat, Johor

Ahad 28 Jun... Gathering Kumpulan Angels (5 orang wanita yang hebat)...Mines Shopping Center

Sabtu 11 Julai... Majlis Perkahwinan Maria Ann (teman di kolej dulu)... Dewan Sri Sedaya, Subang Jaya

Ahad 26 Julai... Kursus Penterjemahan Karya Kreatif anjuran PTS Publication...Taman Permata, Hulu Kelang

Ahad 23 Ogos... Kursus Penulisan Karya Evergreen anjuran PTS Publication... Taman Permata, Hulu Kelang...

Phew! :0)

Sekarang masih ada dateline job penterjemahan yang perlu di kejar...

Selepas itu, akan menumpukan perhatian kepada projek penulisan buku... sedang mencari idea yang sesuai... :0)

'Sesungguhnya pena itu senjata yang tajam...'

Saturday, May 23, 2009

Siapa Buta Hati & Buta Akal?

SIAPA BUTA HATI DAN BUTA AKAL?

Apa sebabnya berlaku pelbagai masalah dalam masyarakat? Daripada ahli politik yang merebut kuasa dan melakukan rasuah, ahli agama dan para ilmuan yang bertelagah, remaja yang menjadi mat rempit, perempuan yang membuang anak, peragut yang kejam, dan banyak lagi jika mahu disebut semua.

Mereka sebenarnya adalah manusia bermasalah kerana hati dan akal mereka sudah buta!

Sesiapa yang mempunyai HATI yang buta maka dia tidak akan kenal Allah. Justeru itu dia tidak akan kenal kebenaran dan kebaikan. Sesiapa hatinya buta, akan timbul penyakit mazmumah atau keji dalam dirinya. Di antara penyakit mazmumah ialah tidak ada perasaan timbang rasa, tidak ada rasa syukur, tidak rasa bersalah atau dosa apabila membuat salah dan maksiat, tidak ada rasa jijik dengan kemungkaran. Hatinya telah buta kerana berperanan mengikut pimpinan hawa nafsunya yang jahat. Itulah bosnya kini yang sentiasa mengarah hati melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Akibatnya wujudlah kelakuan syaitan saperti suka mengumpat, menfitnah, sombong, ego, atau berkelakuan seperti haiwan yang hanya memikirkan makan, minum, hiburan dan seks.

Itulah akibatnya jika hati sudah tidak berperanan lagi dan sebaliknya nafsu sudah mengambil alih tempatnya (hati). Ia sudah tidak berperanan seperti biasa lagi. Firman Allah dalam Al Quran - terjemahannya:

"Sesungguhnya Kami peruntukkan untuk Neraka Jahanam kebanyakannya terdiri dari jin dan manusia: bagi mereka ada HATI , (tetapi) tidak mahu memahami (isi Al Quran) dengan HATI nya, dan bagi mereka ada mata, (tetapi) tidak mahu melihat dengan mata nya dan mereka bagi mereka ada telinga, (tetapi) tidak mahu mendengar dengan telinga nya.Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat. Mereka itu ialah orang yang lalai". (Al A"raf:179)

Orang yang buta AKAL pula ialah orang yang tidak mahu gunakan fikiran walaupun dia mempunyai otak yang tajam dan cerdik. Maka apabila akalnya buta dia tidak dapat menangkap ilmu dan pengalaman hidup. Buah fikiran akan menjadi tidak rasional. Jika dia seorang ulama atau pemimpin maka rosaklah masyarakat itu.

- Amri el Wahab

*(Petikan ini ku edit sedikit kerana pelbagai kesalahan tatabahasa, ejaan, noktah, spacing...DLL)*

Sabda Rasulullah s.a.w

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya " Sesiapa yang menuntut ilmu dengan maksud untuk bersaing dengan para ulama atau untuk mujadalah dengan orang orang yang jahil atau untuk mengambil perhatian manusia, ia akan masuk neraka. Dan barang siapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah amalannya dia akan bertambah jauh dari Allah."

Khas buat Mak, Ibu, Umi, Mama....



Petikan ini sudah beberapa kali ditemui daripada pelbagai email ‘forward’ yang dikirimkan oleh teman-teman siber. Ternyata nilai petikan ini adalah begitu berharga dan tidak hanya keluar semasa musim perayaan 'sambutan hari ibu' tetapi ia juga tetap berharga sepanjang masa. Petikan ini kutujukan khas buat semua mak, ibu, umi, mama, mami, mommy diluar sana… Terutama untuk emakku, Mariam Zakariah… yang kini jauh dimata… tetapi emak sentiasa dekat dihati. Insyallah panjang umur, kita jumpa lagi ya… Rindu sangat pada emak.

---------------

Aku lahir dari perut mak..

Bila dahaga, yang susukan aku....mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ...mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....Mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila menangis, orang pertama yang datang .....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....mak
Bila takut, yang tenangkan aku....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak
Aku selalu teringatkan ....mak
Bila sedih, aku mesti telefon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu.....mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....mak
Yang selalu berleter kat aku...mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari....mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....mak

Bila sambut perayaan istimewa.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan telefon pasanganku
Entah bila... aku nak telefon mak

Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya........

Tapi kalau mak sudah tiada..........
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

-----------

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

-------

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,
"Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.

Hadiah Paling Berharga untuk Insan yang diKasihi



Ini ialah senarai 10 hadiah yang paling senang dan sesuai diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita kasihi ~ ibu, bapa, suami, isteri, saudara-mara, anak dan sebagainya. Contoh ini lebih menjurus kepada hubungan lelaki-wanita, sila ubahsuai jika ditujukan kepada orang lain. Pilihlah satu atau pun semua.

1. Hadiah Mendengar: Berikan hadiah ini kepada yang memerlukan, dan kamu hendaklah benar-benar mendengar apa yang dikatakan. Jangan mencelah, jangan berangan-angan dan jangan merancang bagaimana kamu hendak membalas.

2. Hadiah Tanda Kasih: Jangan kedekut memberikan pelukan, ciuman dan ramasan tangan. Biarkan tanda-tanda kecil ini tunjukkan kasih dan sayang yang ada di dalam diri kamu.

3. Hadiah Sehelai Nota: Ia mungkin ringkas seperti "Sayang Awak" atau sesuatu yang kreatif seperti sebuah puisi. Letakkan nota-nota ini di tempat yang tidak disangka oleh orang yang dikasihi.

4. Hadiah Ketawa: Berikan sesuatu yang melucukan seperti gambar kartun atau artikel. Mesejnya ialah, "Saya suka ketawa bersama awak."

5. Hadiah Puji-Pujian: Sesuatu yang simple seperti "Warna biru memang sesuai dengan awak" atau "Sedap masakan awak" mempunyai nilai yang tinggi kepada orang yang mungkin mendengarnya.

6. Hadiah Bantuan: Tolong basuh pinggan mangkuk, buang sampah, jaga anak, dll.

7. Hadiah Bersendirian: Ada ketika kita hanya mahu bersendirian. Peka kepada saat itu dan berilah masa dan ruang untuk dia bersendirian.

8. Hadiah Keceriaan: Cuba sedaya upaya supaya kita sentiasa ceria apabila bersama orang yang dikasihi.

9. Hadiah Riadah: Sertai sesuatu sukan/aktiviti yang disukai oleh orang yang dikasihi. Kalah pun tak apa, kamu masih menang.

10. Hadiah Doa: Selalu berdoa untuk kesejahteraan orang yang dikasihi dan beritahu mereka yang mereka setiasa berada di dalam doa kita.

Sumber ~ Putratropika

(Sumber:Jnk.yahoogroups.com)

Wednesday, May 20, 2009

Pantun: Kawan Berkawan

Dari dulu kita berjalan
Hingga kini tidak berhenti
Dari dulu kita berkawan
Hingga kini tetap di hati

Hingga kini tidak berhenti
Walau jauh beribu batu
Hingga kini tetap di hati
Walau datang pelbagai hantu

Walau jauh beribu batu
Semangat juang tetap diperah
Walau datang pelbagai hantu
Kasih kita tetap terserlah

Semangat juang tetap diperah
Demi menawan puncak tinggi
Kasih kita tetap terserlah
Tersemat ia di lubuk hati.

Demi menawan puncak tinggi
Menempa jaya dengan megah
Tersemat ia dilubuk hati
Tetap padu tak mungkin goyah

Sekian. Terima kasih.

orangkampong
Pekan Pahang.
010509

Funny Poem : Ten Little Gigabytes

Ten Little Gigabytes


Ten little gigabytes, waiting on line
one caught a virus, then there were nine.

Nine little gigabytes, holding just the date,
someone jabbed a write protect, then there were eight.

Eight little gigabytes, should have been eleven,
then they cut the budget, now there are seven.

Seven little gigabytes, involved in mathematics
stored an even larger prime, now there are six.

Six little gigabytes, working like a hive,
one died of overwork, now there are five.

Five little gigabytes, trying to add more
plugged in the wrong lead, now there are four.

Four little gigabytes, failing frequently,
one used for spare parts, now there are three.

Three little gigabytes, have too much to do
service man on holiday, now there are two.

Two little gigabytes, badly over run,
took the work elsewhere, now just need one.

One little gigabyte, systems far too small
shut the whole thing down, now there's none at all.

(Source:jokes.com/ptoday)

Tuesday, May 19, 2009

Satu peringatan untuk semua

Solawatun Nabi suatu yang mulia
Zikrullah adalah agung sekali
Berhati-hatilah jangan sampai dilacurkan
Atau dinodai

Takutilah Allah ayat-ayatnya jangan dicemari
Ayat-ayatnya kenalah dijaga dan dihormati
Jangan dicampuradukkan dengan noda dan dosa
Jika dilakukan satu penghinaan
Kepada ALLAH
Tuhan yang maha esa

Berhati-hatilah menggunakan kalimah suci
Kalimah-kalimah suci jangan dijadikan
Untuk berlalai-lalai
Atau mencari rezeki
Jangan dijadikan lafaz-lafaz yang mulia
Untuk cari nama untuk dapatkan harta dunia dan glamuor

Mencari makan luas gelanggangnya
Seluas bumi tuhan di dunia ini
Jangan lah mencari makan dengan kalimah yang suci
Takutilah allah malulah dengan diri sendiri

Jangan pula kerana nama dan glamour
Kalimah suci dinodai malulah kepada tuhan
Dan malulah juga dengan orang mukmin
Kerana tuhan melihat dam orang mukmin memerhati
Takutilah ALLAH
Agar kita sentiasa berhati-hati...

Monday, May 18, 2009

Mutiara Kata

Antara perangkap syaitan ialah
Derhaka dengan nikmat Allah
Angkuh dengan pemberian Allah
Sombong kepada hamba hamba Allah

Jagalah lidah mu sebelum ia melukakan hati orang
Jagalah tingkah laku mu sebelum ia membinasakan diri sendiri.

Janganlah mendongak ke langit kerana angkuh
Atau tunduk ke bumi kerana putus asa.
Berhati hati lah semasa berbicara,
kerana lidah itu juga bolih tergigit pada bila bila masa.

Apabila engkau bersabar
akan timbul kekuatan dalam diri mu dan memperolehi pahala
Tetapi jika engkau berkeluh kesah
Ia akan menimbulkan kelemahan.

Ilmu itu kekuasaan pertama
Benda itu kekuasaan kedua
Ada emas semua kemas
Ada wang semua sayang
Ada padi semua menjadi

Jangan lah hendaknya kecintaan mu terhadap sesuatu
membuat kamu menjadi lupa
Dan kebencian mu terhadap sesuatu itu
membuatkan kamu hancur.

Jika kamu berada dalam majlis jamuan
hendaklah menjaga perangai
di rumah orang menjaga mata
dalam solat menjaga hati
dan dalam pergaulan menjaga lidah.

(Sumber:saujanaku.yahoogroups.com)

Sunday, May 17, 2009

Novel yang baru dibeli...



Dua novel yang dibeli petang tadi daripada Popular @ Jusco Cheras Selatan

Bengkel Teknik Penulisan : Surah Yusuf - 17.05.09

Satu lagi sesi pembelajaran di bengkel PTS... ternyata banyak ilmu sudah diperolehi.
Semangat semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan karya...
Doakan ya...
Dan akan mula mempraktikkannya dalam blog ini... Insyallah...

Another Book Fair : 29 May - 7 June 2009



Name : Read Malaysia 2009

Date : 29 May - 7 June 2009

Time : 11am - 10pm

Venue : Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Mines Resort City

Organized by : MINES Exhibition Management Sdn Bhd

Endorsed by : Ministry of Education

http://www.readmalaysia.my

(Thanks to Pn Ainon Mohd @ www.universitipts.com)

Praktikal dengan Danial : Bahasa Melayu Tinggi

Sifu penulisan yang terkenal, Puan Ainon Mohd menyarankan agar ibu-bapa berkomunikasi dengan anak-anak menggunakan bahasa melayu tinggi. Walaupun anak itu masih kecil dan kemungkinan besar tidak memahami apa saja yang dituturkan oleh ibu-bapanya, setiap patah perkataan yang digunakan akan tertanam dalam minda mereka tanpa disedari. Logiknya, setiap perkataan / ayat yang dituturkan atau output, mesti ada sesi inputnya. Insyallah, jika kita menggunakan bahasa melayu tinggi atau bahasa melayu skema dengan anak-anak kita, mereka juga akan biasa menggunakan bahasa melayu tinggi dalam kehidupan mereka, terutamanya dalam pembelajaran di sekolah dan seterusnya di universiti dan tempat kerja kelak.

Nekad untuk memulakan sesi praktikal ini dengan Danial di rumah. Daripada dulu lagi, memang sudah berpesan dengan si suami, adik-adik dan sesiapa sahaja yang sering berinteraksi dengan Danial supaya jangan menggunakan bahasa 'baby' atau bahasa yang pelat. Bercakap dengan Danial mesti menggunakan bahasa yang betul, baik bahasa melayu atau bahasa inggeris. Biar Danial belajar bahasa yang sebetulnya. Alhamdulillah, ia adalah satu langkah yang betul. Kini Danial sudah sangat petah berkata-kata sehingga tidak terlayan oleh mereka semua.

Langkah seterusnya ialah untuk menggunakan bahasa melayu tinggi. Bak kata Pn Ainon, bahasa melayu rendah apabila berkomunikasi dengan anak hanya menggunakan maksimum 3 patah perkataan dalam satu ayat. Wah... memang betul.

"Danial, jom mandi!" (3 patah perkataan)
"Danial, turun cepat!" (3 patah perkataan)
"Danial, minum susu!" (3 patah perkataan)
"Danial, mari tukar lampin!" (naik jadi 4 patah perkataan, tapi masih pendek)
"Danial, kesat cepat!" (3 patah perkataan)
"Danial, jom tidur!" (3 patah perkataan)
"Danial, jom jalan!" (3 patah perkataan)
"Danial, jangan bising!" (3 patah perkataan)

Senarai itu sebenarnya panjang lagi...tapi ini saja sudah cukup untuk membayangkan bilangan perkataan yang sudah tertanam dalam minda Danial... hmmm....

Selepas ini, insyallah, akan cuba mempraktikkan bahasa melayu tinggi dengan Danial. Masih belum terlambat, Danial baru 2 tahun...jauh lagi perjalanan hidupnya. Mari buat semakan bahasa yang sepatutnya digunakan...

"Danial, mari kita pergi mandi kerana hari sudah petang." (9 patah perkataan)
"Danial, mari kita pergi mandi kerana kamu sudah berbau busuk." (10 patah perkataan)
"Danial, sila turun daripada kerusi itu cepat sebelum Umi naik angin!" (11 patah perkataan)
"Danial, mari minum susu yang sudah siap ini dan lepas ini kamu boleh tidur." (14 patah perkataan)
"Danial, mari sini, kita tukar lampin itu yang sudah penuh dan berbau busuk." (13 patah perkataan)
"Danial, sila ambil kain basahan ini dan cepat kesat tumpahan susu di atas lantai itu!" (14 patah perkataan)
"Danial, Umi tahu kamu sudah mengantuk, oleh itu mari kita masuk ke dalam bilik dan tidur." (15 patah perkataan)
"Danial, mari Umi mandikan awak dan pakaikan baju cantik, supaya lepas ini kita boleh pergi berjalan-jalan." (16 patah perkataan)
"Danial, sila jangan buat bising kerana Umi mahu menyiapkan kerja yang perlu dihantar pada hari ini!" (17 patah perkataan)

NAMPAK PERBEZAANNYA???


Gambar Danial semasa Hari Raya Aidilfitri yang lepas ...