Tuesday, January 19, 2010

Apakah Gaya Komunikasi Anda?

Assalamualaikum pembuka bicara,
Esok sudah 20 haribulan rupanya,
Topik menarik yang mahu dikongsi bersama,
Apakah gaya komunikasi anda semua?

Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak menumpukan perhatian?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti tidak berminat?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia seperti mengelamun jauh?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, namun dia sering menyampuk percakapan anda?
Pernahkah anda berbicara dengan seseorang, dan dia dapat mengikuti segala butiran yang anda kongsikan?

Pasti sebahagian atau mungkin juga semua situasi di atas, pernah berlaku kepada kita semua.

Saya baru sahaja selesai mengedit buku edisi bahasa melayu Law of Connection. Buku itu ditulis oleh Michael J. Losier, pengarang buku Law of Attraction.

Ternyata kandungan buku itu begitu menarik sekali. Pengarang berkongsi pelbagai kaedah mewujudkan perhubungan personal dan profesional yang ideal. Manusia ternyata mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Rupa-rupanya, kita semua mempunyai gaya komunikasi yang berbeza. Inilah sebab utama kenapa berlaku salah faham dan miskomunikasi antara kita, sehinggakan menjejaskan dan memusnahkan perhubungan dengan individu / pihak itu.

Kenyataannya, kita sentiasa dikelilingi oleh pelbagai pihak yang mempunyai pelbagai gaya komunikasi. Mari kita renungkan dua situasi berikut:

Situasi A: Anda berkenalan dengan teman baru, dan secara serta merta anda berdua mampu berkomunikasi dengan lancar, seperti sudah berkawan lama. Anda begitu seronok berbual dengannya dan dia juga kelihatan seronok berbual dengan anda. Anda berdua rancak berborak sehingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.

Situasi B: Anda berkenalan dengan teman baru, namun dia seperti tidak berminat berbual-bual panjang dengan anda. Setiap persoalan yang diajukan, disambutnya sepatah demi sepatah. Setiap informasi menarik yang dikongsikan, nyata tidak mendapat respons yang memberangsangkan. Anda mula merasakan tidak seronok berbual dengannya.

Pasti kedua-dua situasi di atas pernah berlaku kepada anda. Saya sendiri pernah mengalami keadaan itu. Sebagai pensyarah, saya berhadapan dengan pelbagai ragam, karenah pelajar, pada setiap semester. Pasti gaya komunikasi mereka juga berbeza. Ada yang menyenangkan, dan ada juga yang menjengkelkan.

Selepas mengedit buku itu, saya dapat lebih memahami setiap gaya komunikasi yang ada. Selama ini, sepanjang saya menjadi jurulatih dan fasilitator pelbagai program belia, kami sudah didedahkan dengan jenis ragam manusia dan cara mereka belajar. Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. Tiga jenis itu adalah pembelajaran visual, auditori dan kinestetik. Rupanya, hal itu berkaitan juga dengan gaya komunikasi mereka. Bezanya gaya komunikasi mempunyai 4 gaya, iaitu Visual, Auditori, Kinestetik, dan Digital.

Secara ringkasnya:
Visual = Penglihatan,
Auditori = Pendengaran,
Kinestetik = Pergerakan,
Digital = Pemikiran...

Adakah anda komunikator Gaya Visual, Auditori, Kinestetik atau Digital?
Bagaimana berkomunikasi dengan individu berbeza gayanya?
Bagaimana mengenal pasti gaya komunikasi individu itu?

Semuanya terjawab dalam buku Edisi Bahasa Melayu: Law of Connection. Mac 2010. Terbitan PTS Profesional

Saturday, December 19, 2009

6 Bulan Berlalu... Macam-macam yang berlaku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apabila dikunjungi laman blog ini, ternyata entri terakhir adalah pada bulan Julai. Sudah 6 bulan berlalu dan pelbagai perkara yang berlaku. Namun itu bukan alasan untuk tidak menulis apa-apa. Hakikatnya, kebanyakan masa memang dihabiskan dengan menulis, tetapi bukan di blog ini. Saya sibuk menterjemah buku, mengedit buku dan menulis siri novel remaja yang pertama. Tambahan lagi, dengan pelbagai tugasan penterjemahan dokumen komersial dan tugasan mengajar di kolej swasta. Itu belum lagi termasuk masa berharga bersama keluarga, bersama Danial Jazmi, bersama ayahnya, auntie2nya, uncle2nya, dan atok2nya.

Wah, sungguh multitasking! :0) Segalanya mengenai kehidupan. Kadang-kadang, apabila tidak mempunyai sebarang tugasan, memang membosankan. Tetapi apabila mempunyai seribu satu macam perkara yang perlu dilakukan, terasa begitu sibuk pula.

Namun, sibuk itu bagus, memang bagus.
Sibuk bermakna, semua anggota badan kita bekerja, berfungsi dengan baik.
Sibuk bermakna, masa dipenuhi dengan pelbagai perkara yang berharga.
Sibuk bermakna, kita melangkah maju ke hadapan.
Sibuk bermakna, kita mempelajari pelbagai ilmu baru setiap hari.

Tanggal 20 Disember 2009, barulah ada sedikit masa terluang bagi mencatatkan sesuatu dalam blog ni. Walaupun, masih ada tugasan yang perlu disiapkan, tetapi rindu mahu menulis sesuatu di laman blog ini.

Mengimbas kembali, apa yang dilakukan sepanjang 6 bulan yang lepas, memang tidak dapat diingati secara terperinci. Secara amnya, antara perkara yang berlaku adalah:

1. Mengedit buku terjemahan - RAHSIA BISNES GOOGLE - PTS Profesional, Disember 2009
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



2. Mengedit buku terjemahan - YOUTUBE - PTS Profesional, 2010
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



3. Menterjemahkan buku motivasi - KUBIK LEADERSHIP - PTS Profesional, 2010
- Karya asal Bahasa Indonesia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



4. Menulis novel remaja yang bertemakan sains dan teknologi. Buku ini bakal dijadikan siri, Insyallah. Novel TIM B.E.S.T. (Buat Eksperimen Sains dan Teknologi) berkisarkan mengenai sekumpulan remaja yang suka melakukan pelbagai eksperimen sains dan teknologi. Setiap daripada mereka mempunyai karakter dan aspirasi masing-masing.

5. Insyallah, memulakan projek terjemahan buku mind mapping pada minggu hadapan. Projek ini mencabar kerana ia perlu disiapkan sepantas mungkin. Buku ini berkembar, setebal 150 dan 190 mukasurat. Setiap satu perlu disiapkan dalam masa 2 - 3 minggu sahaja. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNYA. Insyallah! :0)

Pasti boleh! Insyallah! :0)

Sunday, July 26, 2009

Ramadhan yang Mulia



Bulan Ramadhan yang mulia bakal tiba. Setelah setahun menghilang, dirindui oleh orang Islam di seluruh dunia, akhirnya ia muncul semula. Ada sebilangan besar sudah mula berpuasa di bulan Rejab, bagi mendapatkan berkat bulan Rejab, ada yang baru mahu mengganti semula hutang puasa yang masih ada (alhamdulillah, hutang puasa biasanya diganti pada bulan Syawal), dan ada yang berpuasa untuk mendapatkan semula feel puasa selepas hampir setahun menghilang.

Diramalkan Ramadhan akan mula pada 20hb Ogos (tertakluk kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, selepas melihat anak bulan), menjadikan antara 2-3 minggu sahaja lagi daripada hari ini. Memang sudah tidak sabar! Bulan puasa memang bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh semua. Ataupun sebenarnya orang ramai menunggu sambutan Syawal selepas itu...? Hmmm...

Nota: Masa bulan puasa, paling suka menonton solah terawih yang disiarkan secara langsung daripada tanah suci Mekah. Biasanya waktu siarannya di Malaysia ialah pada tengah malam.

Sebulan Menyepi... Sedikit Aktiviti Bulan Julai.

Assalamualaikum...

Rupanya sudah sebulan tiada entri baru ke dalam blog ini. Sebulan lamanya menyepi. Entri terakhir adalah pada penghujung bulan Jun. Kini sudah tiba penghujung bulan Julai. Bila difikirkan semula, apa aktiviti yang memenuhi kalendar bulan Julai? Hmm....

Antaranya:

Semester baru bermula di kolej. Tambahan kepada kelas 'Penulisan Berita dan Laporan', kini saya mengajar kelas "Isu Etika dan Rangka Kerja Undang-undang dalam Komunikasi'. Dalam mesyuarat pensyarah Fakulti Mass Komunikasi tempoh hari, dikhabarkan subjek 'Teori dalam Mass Komunikasi' turut akan ditambah ke dalam senarai subjek yang perlu diajar. Wahhh! Subjek yang berat belaka. Ah! Baru teringat, ada beberapa dokumen yang perlu dilengkapkan, demi memenuhi kehendak kelayakan kursus untuk MQA. Banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. :0)

Kedai Buku Popular mengadakan Pesta Buku di ruang legar di Ikano Power Center, yang akan tamat pada 2 Ogos. Begitu seronok membayangkan pelbagai ilmu berharga yang bakal dimiliki pada kadar yang istimewa. Pada hari Rabu 22 Julai, digagahi pergi ke Kota Damansara tu daripada Kajang. Terasa seperti marathon merentas bandar. Bila dah berada di sana, memang kagum kerana harga potongan buku sehingga 80%! Cuma kita perlu bijak 'mengode-gode' longgokkan dan timbunan buku yang disusun di bahagian tawaran istimewa tersebut. Akhirnya beratus RM diperhabiskan angkara terlalu seronok dikelilingi pelbagai buku di situ. Tangan ini mencapai seolah-olah membeli-belah di pasaraya besar. Sejumlah 23 buah buku diborong pada hari itu, termasuk buku untuk Danial. Jangan terkejut, Danial pun sudah ada bahagian almari yang dipenuhi oleh pelbagai bukunya sendiri! Seronoknya!

Thursday, June 25, 2009

Petua 8p daripada Ustazah Siti Nurbahyah



Ustazah Siti Nur Bahyah berkata,

1) P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terim! a kasih apabila diberi pertolongan..

2) Katanya, P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3) P seterusnya ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4) 'Perhatian' adalah P keempat yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan, katanya yang menulis buku Cakar Harimau - Tips Kebahagiaan Rumah Tangga, Amalan Ibu Mengandung dan Panduan Mencerdaskan Minda.

5) Siti Nur Bahyah berkata, P seterusnya mewakili 'persefahaman'

6) Menurutnya, P selanjutnya membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7) Beliau berkata, satu lagi P adalah 'percutian' di mana kita perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangan di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin.

8) Katanya, P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia..

Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama bagi mengurangkan panas baran suami.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggung jawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai-berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggung jawab terhadap keluarga," katanya.

"sampaikanlah pesanan yang bermanfaat walaupun 1 ayat"

Thursday, June 18, 2009

Mutiara Kata



Jika dunia ini persinggahan,
mengapa tidak kita perbanyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan?
Kerana kita hanya ada satu persinggahan sahaja.

Jika pemberian orang lain tidak di hargai,
untuk apa pula kita mengharapkan orang lain menjaga hati kita?
Orang memberi kita merasa,
berbudi bahasalah sesama insan.

Ada 4 tanda tanda orang berakal.
Cinta pada ilmu,
tidak berubah mukanya waktu menerima umpat dan puji,
bagus jawapannya
dan banyak benarnya.

Jelingan tidak sama ertinya,
jelingan pemimpin mempasti,
jelingan anak takut dimarahi,
jelingan bapa mengawasi,
jelingan musuh sakit hati,
jelingan perempuan jatuh hati.

7 golongan manusia dalam menuntut ilmu.




Saya dapat email ini daripada salah satu online group yang saya sertai...
Kandungan email ini agak menarik... jadi saya sertakan di sini... golongan manakan anda? (Kandungannya diedit sedikit dari segi tatabahasa dan penyesuaian ayat)

................................

Salam sahabat muslimin dan muslimat sekalian.

Saya baru dapat ilmu daripada seorang guru dan ingin berkongsi bersama anda.

Kata ya dalam masyarakat Islam, ada 7 golongan manusia dalam menuntut ilmu.

1. Orang yang menuntut dan mencari ilmu kerana ilmu semata mata. Dia seronok, mabuk dan asyik dengan ilmu. Mabuk ilmu hingga yang ada tidak mahu kahwin , kerana katanya belum puas belajar. Ini adalah golongan yang mabuk ilmu.

2. Orang yang mencari ilmu kerana bercita-cita hendak mendapat jawatan tinggi seperti mufti dan bergaji besar.D engan ilmu juga dia boleh berniaga dan jadi kaya dan mendapat banyak harta. Ini golongan yang menggunakan ilmu untuk meraih kekayaan.

3. Ada orang mencari ilmu kerana bercita cita menjadi pemimpin. Seorang yang jadi pemimpin mesti berilmu. Ini adalah golongan yang menggunakan ilmu untuk menjadi pemimpin.

4. Ada juga orang yang mencari ilmu kerana hendakkan glamour.Agar orang kata dia intelek. Inilah golongan ahli ilmu yang tujuan nya hendak dapat nama.

5. Ada orang belajar ilmu kerana hendak keluar daripada kejahilan dan kebodohan. Agar dia tidak dipandang hina. Inilah golongan yang mendapatkan ilmu supaya diri tidak terhina.

6. Ada orang menuntut ilmu kerana ingin membangun dan maju demi kedaulatan dan kemegahan bangsa dan negara. Agar jangan bangsa nya mundur dan terhina. Inilah golongan ilmuan yang berfahaman nasionalisme.

7. Ada orang yang menuntut ilmu kerana perintah Allah. Juga dengan tujuan agar dapat amalan ilmu supaya boleh mengabdikan dan mendekatkan diri kepada Allah.Golongan ini menggunakan ilmu untuk membangunkan Islam dalam berbagai-bagai aspek saperti ekonomi, pertanian, bangunan, sekolah, jalan raya, pembangunan insan dan lain lain. Ini adalah dengan tujuan agar dapat melindungi iman, memperkuatkan syariat, membesarkan syiar Islam dan mendaulatkan hukum hukum Tuhan. Ini golongan ilmuan yang bertaqwa.


Kita umat Islam dalam menuntut Ilmu biarlah menjadi golongan yang ke 7 ya itu mencari ilmu kerana Allah Taala. Kalau belajar bukan kerana Allah maka rugi lah, kerana mungkin untung di dunia tetapi rugi di akhirat saperti yang di nyatakan dalam Hadis yang di tulis di awal tulisan tadi. Wal'iyazubillah!

(sumber:teman siber Amri el Wahab http://hembusan-amal.blogspot.com)